KUCHING, 18 Mei – Sarawak menyasarkan menarik ketibaan lima juta pelancong tahun ini dengan anggaran RM8.98 juta bagi resit pelancongan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehingga Januari hingga April tahun ini, Sarawak merekodkan 2.67 juta pelancong iaitu peningkatan 17.26 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bercakap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 di sini hari ini, beliau berkata tahun lepas Sarawak menerima ketibaan 4.66 juta pelancong dengan anggaran resit pelancongan RM8.37 juta.
Bagaimanapun beliau berkata, Sarawak perlu mewujudkan jenama identiti kerana negeri itu tidak dikenali di luar negara berbanding Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka.
Katanya ini berdasarkan maklum balas daripada warga asing semasa kerajaan negeri mengadakan pelbagai pameran perdagangan dan pelancongan di luar negara.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk melibatkan pakar jenama untuk meneliti perkara ini,” katanya dan menambah ia juga telah meletakkan pelancongan sebagai satu daripada tiga Bidang Keberhasilan Utama (KRA) di bawah Program Transformasi Sosioekonomi (SETP).
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata di bawah KRA, kerajaan akan menaik taraf infrastruktur pelancongan, pembangunan produk baharu, memberi wajah baharu dan menaik taraf Kuching Waterfront dan mewujudkan acara sampingan yang ikonik seperti Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia.
Beliau berkata terdapat juga keperluan untuk menyediakan insentif untuk menarik minat beberapa syarikat penerbangan melakukan penerbangan terus ke Sarawak, sama ada penerbangan sewa khas atau berjadual.
Mengenai pelancongan perubatan yang juga merupakan segmen yang sangat penting, beliau berkata hospital swasta sedang dibina untuk menambah bilangan hospital sedia ada yang akan memberi manfaat besar.
Abdul Karim berkata tahun lepas Sarawak menerima 21,603 pesakit asing, kebanyakannya warga Indonesia yang membelanjakan RM27.36 juta.
Sementara itu beliau berkata kementeriannya akan mencadangan kepada kerajaan negeri untuk membina pelabuhan laut dalam di sini atau Bintulu untuk memenuhi keperluan kemudahan kapal pelayaran mega bagi manfaat sektor pelancongan pelayaran yang pesat membangun.
“Pada 2016, Sarawak menerima 3,671 penumpang kapal persiaran dengan ketibaan tujuh kapal. Bagi tahun ini kami menjangkakan menerima enam kapal pelayaran dengan kira-kira 2,000 penumpang,” tambah beliau. – Bernama