Thursday, January 2, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak sedia terima lebih banyak pelaburan hijau

    KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Sarawak telah menarik RM4.2 bilion dalam pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2024, bahagian penting dalam kisah pertumbuhan negara berikutan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata itu meletakkan negeri tersebut di tempat keempat dari segi nilai aliran pelaburan.

    Beliau berkata pencapaian utama sejak pelancaran NIMP 2030 hampir setahun lalu termasuk pelaburan yang diluluskan bernilai RM329.5 bilion yang direkodkan oleh Malaysia pada 2023, yang berpotensi mewujudkan hampir 130,000 pekerjaan.

    “Kami juga mencapai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM83.7 bilion untuk suku pertama 2024, meningkat 13 peratus tahun ke tahun dan daripada ini lebih 56 peratus telah diluluskan pelaburan asing.

    “Jumlah pelaburan yang diluluskan akan mewujudkan 29,000 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, peningkatan 14.6 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam ucapannya di Siri Invest MIDA bertajuk Sarawak unfolding its business potentials (Sarawak membuka potensi perniagaannya),” di sini hari ini.

    Tengku Zafrul berkata banyak syarikat elektrik dan elektronik dan kimia telah mewujudkan kehadiran mereka di Sarawak termasuk Taiyo Yuden Sdn Bhd, OCI Co Ltd, Melexis dan X Fab Sarawak Sdn Bhd.

    Beliau juga berkata agenda tenaga hijau Sarawak yang bercita-cita tinggi bertujuan untuk menyahkarbonkan sistem pengangkutannya dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, sangat melengkapi strategi peringkat kebangsaan mengenai pelaburan hijau, NIMP 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

    Tengku Zafrul mendedahkan bahawa dari 2021 hingga Mac 2024, kira-kira 80 peratus projek pembuatan yang diluluskan telah dilaksanakan. – Bernama

    Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyampaikan ucaptama semasa pelancaran Persidangan Belia Pembuatan ASEAN 2024 (AMYC 2024) pada 16 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda