KUCHING, 15 APRIL – Sarawak telah menambah dua lagi pusat saringan khususnya di kawasan Zon Merah bagi meningkatkan lagi kapasiti saringan kes-kes COVID-19 di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, pusat saringan tambahan secara pandu lalu itu masing-masing disediakan di Kota Samarahan dan Klinik Kesihatan Petra Jaya di sini.
“Pusat saringan di Kota Samarahan dibuka sejak 22 Mac lalu yang mana sebanyak 1,604 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,346 jumlah sampel telah diambil dan sebanyak 35 kes adalah positif,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Katanya, pusat saringan pandu lalu di Kota Samarahan adalah untuk orang awam, manakala pusat saringan pandu lalu di Klinik Kesihatan Petra Jaya bagi petugas barisan hadapan. – Bernama