Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak terima 39,231 murid Tahun Satu 2018

    KUCHING, 31 Dis – Seramai 39,231 murid telah mendaftar untuk memasuki alam persekolahan di Tahun Satu di negeri Sarawak pada tahun 2018, yang akan memulakan sesinya pada 2 Januari ini, menurut Jabatan Pendidikan Sarawak (JPS).

    Pengarahnya Rakayah Madon dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka adalah antara 240,676 orang murid yang akan bersekolah di 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri pada tahun 2018, di samping 23,164 kanak-kanak yang telah diluluskan bagi memulakan alam persekolahan di peringkat prasekolah (tidak termasuk pendaftaran lewat).

    Di peringkat sekolah menengah pula, menurut beliau, 200,100 orang pelajar akan meneruskan persekolahan dari peringkat kelas peralihan hingga Tingkatan Enam Atas, yang terdiri daripada 186,784 pelajar Kelas Peralihan hingga ke Tingkatan Lima di 190 sekolah menengah seluruh negeri Sarawak.

    “Sesi persekolahan pelajar Tingkatan Enam Bawah bermula pada Mei 2018….,” katanya.

    Menurutnya di peringkat prasekolah, terdapat 1,497 kelas prasekolah diwujudkan di 1,115 institusi pendidikan di Sarawak, yakni pertambahan sebanyak lapan kelas tahun ini berbanding tahun lepas.

    “Ia merangkumi 1,321 buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk empat buah di rumah panjang. Sebanyak 159 buah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), dua buah kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat kelas di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh kelas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda