Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak terus perkukuh usaha tuntut autonomi pendidikan

    KUCHING, 7 MEI – Sarawak terus memperkukuh usaha menuntut autonomi pendidikan berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang kini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak I (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapaee.

    Beliau berkata perkara itu diperincikan dalam Perenggan 17, Bab 2 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang menyatakan semua dasar pendidikan di Sarawak mesti dirangka dengan rundingan bersama kerajaan negeri, meskipun pelaksanaannya diuruskan oleh pegawai persekutuan.

    “Walaupun Pengarah Pendidikan Negeri adalah pegawai Persekutuan, namun semua dasar tetap perlu dirundingkan dengan kerajaan negeri. Ini jelas dinyatakan dalam laporan IGC dan kini telah menjadi undang-undang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti i-Cats dan Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di sini, hari ini.

    Menurutnya, Sarawak telah mengemukakan 15 perkara utama dalam rundingan berkaitan penambahan kuasa autonomi negeri, yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan menunjukkan perkembangan positif. 

    Dr Annuar turut memaklumkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan semakin baik, termasuk kebenaran kepada Sarawak untuk melaksanakan peperiksaan Tahun Enam sendiri selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

    “Ini menunjukkan wujud kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Kalau tiada kerjasama, mustahil kita dibenarkan laksana peperiksaan sendiri,” katanya. – Bernama 

    Datuk Dr Annuar Rapaee di Kolej Universiti i-CATS, pada 7 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda