KUALA LUMPUR, 4 JAN – Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata sambutan itu akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan terus memainkan peranan sebagai urusetia bagi penganjuran sambutan berkenaan.
“Keputusan pemilihan Sarawak ini sudah diputuskan dalam mesyuarat pasca kabinet semalam dan ia sebenarnya bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri yang mahukan HAWANA 2024 diadakan di negeri itu dalam ucapannya pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak tahun lepas.
“Bagaimanapun, lokasi sebenar di Sarawak bagi penganjuran HAWANA 2024 itu akan diputuskan kemudian. Kementerian akan mengadakan perbincangan termasuk dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak untuk tentukan beberapa perkara,” katanya. – Bernama
