TEBEDU, 28 JULAI – Atas dasar perikemanusiaan dan hubungan diplomatik yang erat, Sarawak hari ini menghantar tujuh kontena atau 105 tan bekalan oksigen cecair (LOX) ke Kalimantan Barat, Indonesia bagi kegunaan pesakit COVID-19 di wilayah itu.
Simbolik penyerahan dan penghantarannya disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing kepada Komander Tentera Nasional Indonesia Daerah Pengdam XII/Tanjungpura Mejar Jeneral Muhammad Nur Rahmad, yang mewakili Gabenor Kalimantan Barat H. Sutarmidji Sh M. Hum.
Bercakap kepada media Malaysia dan Indonesia selepas majlis di Pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, kira-kira 100 kilometer dari Kuching, Masing berkata tiga kontena telah dihantar pada 23 dan 24 Julai lepas dan baki empat kontena dihantar hari ini.
Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima sepucuk surat daripada Sutarmidji minggu lepas yang memohon Sarawak membekalkan oksigen kepada Kalimantan Barat bagi kegunaan pesakit COVID-19 di wilayah itu.
“Memandangkan kes COVID-19 di Indonesia berada pada tahap kritikal, Sarawak bersetuju menyalurkan bekalan oksigen ke Provinsi Kalimantan Barat. Ini dilakukan atas dasar perikemanusiaan dan memelihara hubungan diplomatik kedua-dua pihak,” katanya. – Bernama