KUCHING, 21 APRIL – Pembangunan modal insan terlatih dan berpengetahuan luas dengan sistem pendidikan bertaraf dunia jadi keutamaan Sarawak dalam misi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fokus kepada modal insan itu penting kerana kekayaan sumber asli semata-mata tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.
Katanya, Sarawak boleh belajar dari negara seperti Singapura dan Jepun yang mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi besar kerana kekuatan sumber manusianya walaupun tidak mempunyai sumber asli.
“Oleh itu, Sarawak di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperkukuhkan sistem pendidikan negeri ini selaras dengan Peruntukan Fasal 17 Inter-Governmental Committee Report (IGC) yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Abang Johari berkata kesungguhan kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan bertaraf global boleh dilihat daripada cadangan penubuhan lima sekolah antarabangsa yang menggunakan silibus Cambridge. – Bernama