SIBU, 24 Jan – Sarawak yakin dapat mencapai sasarannya untuk membasmi kemiskinan di luar bandar negeri ini menjelang 2020.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pelbagai program peningkatan ekonomi golongan miskin dan miskin tegar bakal dilaksanakan pada tahun ini melalui 31 agensi yang dikoordinasi oleh pejabat residen di 12 bahagian di Sarawak.
“Program peningkatan ekonomi golongan miskin dan miskin tegar ini yang akan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan negeri dan pusat bukan terhad kepada aktiviti pertanian atau golongan yang mempunyai tanah sahaja,” katanya.
Malah ia juga melibatkan aktiviti bukan pertanian, bagi membantu golongan miskin yang tidak mempunyai tanah seperti pemberian peralatan mesin jahit atau peralatan pemprosesan makanan melalui program 1Azam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pembentangan oleh Jawatankuasa Transformasi Ekonomi Luar bandar Zon Tengah Sarawak yang merangkumi pejabat residen bahagian Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit di sini semalam.
Uggah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Ekonomi Luar Bandar berkata segala program yang dijalankan tahun ini disasarkan untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin yang terlibat kepada RM4,000 bagi setiap isi rumah.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak memberitahu bahawa kementerian itu menyediakan peruntukan sebanyak RM122 juta untuk membantu golongan miskin yang terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian. – Bernama