Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT- Awang Sarifudin bin Haji Abdul Karim muncul pemenang bertuah dan membawa pulang hadiah utama berupa sebuah Vespa Sprint bagi promosi Rewarding Journeys With Shell dalam acara cabutan utama semasa Jerayawara Shell Experiential yang berlangsung di The Mall, Gadong, kelmarin.
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah promosi berkenaan ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Mohammed Alexirwan bin Haji Omar.
Promosi yang berjalan dari 12 Jun hingga 31 Ogos itu meraikan pelanggan-pelanggan Shell dengan peluang memenangi pelbagai hadiah dengan setiap pembelian minyak pelincir Shell terpilih.
Pada majlis itu, seramai 10 finalis bertuah berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah menarik sebagai sebahagian daripada tarikan promosi berkenaan.
Pada acara cabutan tersebut, hadiah kedua iaitu baucar pelancongan bernilai $6,500 yang boleh digunakan sehingga Jun 2025 dimenangi oleh Chuan Pyng Foo dan hadiah ketiga berupa baucar elektronik bernilai $1,000 yang boleh digunakan untuk mendapatkan gajet baharu bagi kegunaan rumah atau persendirian telah dimenangi oleh Awang Mohd Azizan bin Haji Abdul Latif.
Promosi itu merupakan sesi kedua Rewarding Journeys with Shell yang bermula pada 2023, yang menjanjikan para pelanggan peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan setiap pembelian minyak pelincir Shell terpilih melalui cawangan yang dibenarkan.
Untuk mengambil bahagian dalam promosi berkenaan, pelanggan perlu membeli minyak pelincir Shell terpilih di cawangan yang dibenarkan di mana ia mempunyai pelekat, Untuk Pasaran Brunei.
Pelekat Untuk Pasaran Brunei tersebut adalah satu inisiatif BSM untuk membantu pelanggan mengenal pasti produk-produk Shell yang tulen.






