Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarjana terkenal Turkiye hadapi perbicaraan baharu

    ISTANBUL, 29 SEPT – Ahli sosiologi dan penulis terkenal Turkiye, Pinar Selek, berdepan perbicaraan baharu hari ini dalam kesnya di Istanbul berhubung letupan yang membawa maut pada 1998, walaupun mendapat tentangan daripada para penyokong hak asasi manusia.

    Dibuang negeri di Perancis, wanita berusia 51 tahun itu terkenal dengan penyelidikannya yang hebat mengenai konflik Kurdish di Turkiye dan usahanya membantu kanak-kanak jalanan.

    Perbicaraan yang berlangsung hari ini yang diadakan tanpa kehadirannya di Mahkamah Jenayah Istanbul, adalah yang kedua sejak ia bermula pada Mac, walaupun Selek – yang melarikan diri dari Turkiye pada 2008 – telah dibebaskan daripada tuduhan dalam empat perbicaraan sebelum ini.

    PEN America telah menyeru kerajaan Turkiye untuk menarik balik semua tuduhan terhadap Selek, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa lalu.

    “Mengekalkan penganiayaan berterusan terhadap Pinar Selek oleh kerajaan Turkiye adalah hasil daripada ketakutan mereka terhadap keupayaannya untuk menyokong suara-suara golongan minoriti melalui penyelidikannya mengenai hak minoriti dan komuniti Kurdish,” kata Justin Shilad, peneraju penyelidikan dan advokasi PEN America untuk Timur Tengah dan Afrika Utara.

    “Kami menunjukkan sokongan kepada Pinar Selek dan menyeru pihak berkuasa Turkiye untuk menarik balik semua tuduhan terhadap beliau dan kami mengajak masyarakat antarabangsa untuk terus memantau kes ini dengan teliti,” tambah Shilad.

    Selek pertama kali ditangkap pada 1998 semasa mengkaji komuniti Kurdish Turkiye, yang telah berdepan dengan penganiayaan selama beberapa dekad.

    Dia dituduh mempunyai kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan, yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutu Baratnya. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda