Sarri mahu pemain kekal fokus

MILAN, 26 JULAI – Maurizio Sarri menggesa pemain-pemain Juventus supaya kekal fokus selepas mereka mempunyai peluang kedua untuk merangkul kejuaraan Serie A kali ke-9 berturut-turut dalam perlawanan di laman sendiri menentang Sampdoria.

Pasukan juara bertahan mengalami kekalahan mengejut 2-1 di tangan Udinese pada Khamis, sekali gus terlepas peluang menjuarai liga dengan berbaki tiga perlawanan.

“Kami mesti kekal bersaing dan tidak berputus asa. Dalam kesemua perlawanan, kami mahu memungut pulang semua mata sehingga 2 Ogos,” kata Sarri. Tiga perlawanan Juventus adalah menentang Sampdoria, Caligiari dan Roma.

Bekas pengurus Chelsea dan Napoli itu menyalahkan keletihan fizikal dan mental sebagai punca kekalahan pasukannya ketika menentang Udinese, yang berjaya membolosi gawang mereka sebanyak dua kali termasuk gol penting pada minit akhir perlawanan.

“Dalam perlawanan menentang Udinese, kami melakukan beberapa kesilapan atas keinginan kami untuk menyerang,” kata pengurus berusia 61 tahun itu. “Ini merupakan musim yang sukar dalam sejarah liga bola sepak Itali, dan kesukaran yang sangat besar bagi semua orang.”

Sarri kekal berwaspada dengan pasukan Claudio Ranieri yang menduduki tangga ke-14, Sampdoria yang tewas kepada musuh ketat mereka, Genoa, 2-1.

Juventus akan bermain tanpa kelibat Douglas Costa, yang mengalami kecede-raan tetapi pemain pertahanan, Leonardo Bonucci kembali selepas menerima penggantungan satu perlawanan, manakala Gonzalo Higuan dan Mattia De Sciglio turut kembali memulakan latihan.- AFP

Aksi Aaron Ramsey cuba merebut bola dari pemain Udinese dalam perlawanan lalu. Pengurus Juventus, Sarri menggesa pemainnya untuk tidak melepaskan peluang kedua untuk merangkul kejuaraan Serie A kali ke-9 berturut-turut dalam perlawanan seterusnya.- AP