‘Sars’ baharu mula merebak di China

BEIJING, 20 JAN – Sejenis wabak serupa virus Sindrom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang baharu telah membunuh individu ketiga, telah merebak di beberapa kawasan di China dan negara ketiga Asia, kata pihak berkuasa hari ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada jutaan pelancong yang mula melakukan perjalanan ke negara itu untuk menyambut Tahun baharu Cina.

Kes virus koronavirus itu, yang pertama kali dikesan di tengah bandar China, Wuhan, telah mencetuskan amaran di mana ia dikatakan mempunyai kaitan dengan virus SARS, yang telah membunuh hampir 650 orang di seluruh tanah besar China dan Hong Kong pada tahun 2002 hingga 2003.

Wuhan memiliki 11 juta penduduk dan merupakan salah satu hab pengangkutan utama, termasuk semasa percutian Tahun Baharu Cina yang akan menjelang hujung minggu ini dan menyaksikan ratusan juta penduduk China mula melakukan perjalanan di seluruh China untuk melawat keluarga mereka.

Individu ketiga telah disahkan meninggal dunia dan 136 kes baharu telah dikesan sepanjang minggu ini di Wuhan, kata suruhanjaya kesihatan tempatan, sambil menambah bilangan mangsa yang telah didiagnosis dengan virus itu di China kepada 201 orang.

Kes pertama koronavirus juga dilaporkan dikesan di Korea Selatan, di tengah-tengah kebimbangan wabak penyakit itu merebak ke China dan Asia, lapor agensi berita Yonhap. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC) Korea Selatan, seorang wanita warga China mengalami demam, masalah pernafasan dan gejala-gejala lain selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan diuji positif dijangkiti virus itu.

Wanita berusia 35 tahun itu tiba dari pusat bandar Wuhan di wilayah Hubei – di mana virus itu mula dikesan – pada Ahad sebelum berlepas ke Jepun sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu ini. Pesakit berkenaan telah dikuarantin di sebuah hospital tempatan untuk dirawat, kata KCDC. Di selatan wilayah Guangdong pula, seorang lelaki berusia 66 tahun telah dikuarantinkan pada 11 Januari lalu selepas didapati mengalami demam dan menunjukkan simptom-simptom tertentu semasa melakukan perjalanan untuk melawat keluarganya di Wuhan, kata suruhanjaya kesihatan wilayah. – AFP

Para penumpang ketika tiba di stesen kereta api di Hanzhong menjelang Tahun Baharu Cina. Sejenis wabak serupa virus Sindrom Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang baharu telah membunuh individu ketiga, telah merebak ke beberapa kawasan di China dan negara ketiga Asia, China. – AFP