Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Sasar $1b sektor pertanian, perikanan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Secara keseluruhannya, prestasi keluaran sektor pertanian dan perikanan di negara ini telah meningkat 3 peratus daripada $781.26 juta pada tahun 2021 kepada $805.75 juta pada 2022.

    Dalam pada itu, menjadi hasrat Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) ingin mencapai $1 bilion pengeluaran dalam beberapa tahun akan datang.

    Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin mengongsikan kenyataan itu bagi menjawab soalan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed berkaitan sejauh mana keberkesanan usaha Jabatan Pertanian menitikberatkan bidang pertanian perlu digerakkan dengan sesegera mungkin semasa musim permesyuaratan MMN sekitar lima tahun lalu.

    Yang Berhormat Dato semasa berlangsungnya permesyuaratan MMN bagi hari ke-10 di Dewan Majlis, pagi tadi menambah, antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengeksport produk pertanian seperti telur ke Singapura sejak November tahun lepas dan perlaksanaannya akan dilaratkan ke negara-negara lain.

    Di samping itu, beliau turut mengongsikan kegembiraan apabila mendapati semakin banyak penglibatan anak-anak belia dalam bidang pertanian.

    “Seramai 162 belia telah melibatkan diri dalam pertanian pada tahun 2022 berbanding 137 belia pada tahun sebelumnya.”

    “Alhamdulillah dari segi aktiviti penanaman padi telah meningkat daripada satu hingga dua tan kepada empat hingga lima tan tahun lepas.

    “Insya-Allah dalam sedikit masa lagi, akan dicuba dan ditingkatkan kepada kira-kira tujuh kepada lapan tan semusim sehektar. Itulah antara pencapaian yang telah dicapai oleh sektor pertanian dalam merealisasikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada lima tahun lepas,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...