Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sasar capai tenaga diperbaharui

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Penubuhan loji suria skala besar pertama di negara ini yang akan menjana 30 megawatt (MW) dijangka beroperasi dalam waktu terdekat ini dengan hasrat untuk mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) yang menyumbang kepada tenaga masa depan dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra semasa pembentangan ucaptama Forum Dasar dan Pelan Strategik Tenaga Negara Brunei Darussalam 2020-2035 sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE 2021) sebagai sebahagian dari Minggu Tema Tenaga yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas (ICC), hari ini.

    Forum anjuran bersama Kementerian Tenaga dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat.

    Dalam pada itu, Brunei juga merancang untuk menjana 100MW tenaga menerusi pemasangan lebih banyak panel suria di beberapa kawasan yang berpotensi.

    Ia akan dimulakan menerusi perluasan loji ladang suria yang ada di Tenaga Suria Brunei (TSB), Seria dan disusuli dengan projek di Sungai Akar atau Belimbing Subok kemudian Bukit Panggal (Tutong); Gadong; Batu Apoi, Belingus (Temburong) dan Empangan Mengkubau serta empangan lainnya.

    Pengiran Haji Jamra Weira ketika menyampaikan pembentangan ucaptama semasa Forum Minggu Tema Tenaga di ICC, Berakas.
    Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menghadiri majlis berkenaan.

    Kementerian Tenaga dalam kenyataannya juga menetapkan sasaran kira-kira 30 peratus tenaga diperbaharui dalam kapasiti tenaga terutamanya tenaga solar. Dalam usaha untuk mencipta momentum dalam pembinaan infrastruktur tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) baru-baru ini telah memasang dua lagi sistem PV Suria untuk Bangunan Bumiputra Daerah Temburong dan Pejabat Daerah Temburong.

    Sektor swasta dan badan korporat juga telah mengambil perubahan paradigma ke arah peranan yang lebih proaktif dalam menyokong usaha pembaharuan tenaga nasional dan usaha ini termasuk Loji Suria 3.3MW BSP yang baharu dilancarkan di Seria dan sistem Rooftop PV Suria Syarikat Tenaga Berakas. Pengiran Haji Jamra Weira seterusnya menekankan kepentingan tenaga diperbaharui untuk menyokong keselamatan, kelestarian dan alam sekitar tenaga jangka panjang.

    Selain ia juga adalah tanggungjawab bersama daripada semua pihak berkepentingan terutama sektor industri termasuk utiliti kuasa dan sektor swasta dalam melaksanakan dasar ini serta memastikan kejayaan Strategi Tenaga Hijau di peringkat kebangsaan.

    Beliau seterusnya menjelaskan yang mana dasar dan perkembangan tenaga yang boleh diperbaharui telah dikaji dan dibahaskan secara meluas.

    “Dalam beberapa tahun kebelakangan risiko yang dibawa oleh perubahan iklim dan komitmen negara terhadap Perjanjian Paris yang memerlukan inovasi dan transformasi teknologi dalam sistem tenaga negara,” jelasnya. Semasa menyampaikan ucaptama tersebut, beliau turut berkongsi objektif strategi dalam tenaga hijau yang mana Brunei turut menjadi sebahagian daripada pergerakan global dalam bidang tenaga hidrogen.

    Katanya lagi, “kerjasama dengan Jepun dalam projek demonstrasi rantaian bekalan hidrogen global pertama di dunia, telah berjaya menguji pengangkutan tenaga hidrogen dalam keadaan atmosfera ke Kawasaki, Jepun, pada 18 Disember 2019 yang untuk digunakan sebagai bahan bakar untuk penjanaan tenaga mereka.

    “Objektif strategi tenaga hijau kita, untuk mencapai keselamatan tenaga jangka panjang bagi Negara Brunei Darussalam dan persekitaran,” jelasnya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda