KUCHING, 29 JAN – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyasarkan jualan sebanyak RM300,000 sepanjang penganjuran Karnival Mini Usahawan Desa@Kota Samarahan yang akan berlangsung selama empat hari mulai 1 Februari ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal merasmikan karnival itu pada hari kedua.
“Kita jangkakan penglibatan 100 usahawan Sarawak bimbingan agensi di bawah kementerian dan fokus kita bukan sahaja dari segi jualan tetapi juga memberi peluang kepada mereka mengembangkan produk masing-masing serta ilmu perniagaan secara digital kepada komuniti ini.
“Kita menyasarkan sekitar 10,000 pengunjung setiap hari dan pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya kita mahu melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan 3,000 orang bagi acara maraton poco-poco nanti pada 3 Februari,” katanya kepada pemberita selepas program Santai Media Sarawak bersama beliau di sini, kelmarin.
Rubiah juga berkata penganjuran program sedemikian adalah antara usaha kementerian itu membantu meningkatkan pendapatan usahawan kategori piko yang menjana pendapatan tidak melebihi RM60,000 setahun. – Bernama


