Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sasar lima juta pelancong tahun ini

    KUCHING, 27 MEI – Sektor pelancongan Sarawak sedang mencatat pertumbuhan yang kukuh apabila lebih 1.6 juta pengunjung direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menjadikannya berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran lima juta pelancong pada 2025.

    Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah ketibaan pelancong setakat ini turut memberinya keyakinan Sarawak mampu mencatat hasil pelancongan sebanyak RM12.73 bilion tahun ini.

    “Hasil pelancongan mencecah RM12.45 bilion pada 2024, meningkat daripada RM9.99 bilion pada 2023. Dari Januari hingga April tahun ini sahaja, kita telah menjana sebanyak RM4.07 bilion,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

    Beliau berkata Sarawak menerima 4.83 juta pelawat pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya dan melebihi angka sebelum pandemik pada 2019 sebanyak 3.63 peratus.

    Abdul Karim berkata majoriti pelancong antarabangsa ke Sarawak masih datang dari negara-negara ASEAN dengan Brunei Darussalam berada di kedudukan teratas dengan 1.89 juta pelawat, diikuti Indonesia seramai 653,883, Singapura; 59,793 dan Filipina; 46,853.

    Sementara itu, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Sarawak telah memperuntukkan RM382.57 juta, ditambah dengan RM136.44 juta melalui Projek Rakyat serta RM49.9 juta daripada dana Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempertingkatkan infrastruktur pelancongan.

    Abdul Karim berkata antara projek yang telah siap termasuk kerja pemuliharaan kubu bersejarah, kemudahan ekopelancongan di Taman Negara Santubong, naik taraf Pusat Pelancongan Air Terjun Melasak serta penambahbaikan di Kampung Budaya Sarawak.

    Mengenai program Sarawak-Malaysia My Second Home (SMM2H), beliau berkata program berkenaan telah menunjukkan peningkatan minat sejak 2020 dan sehingga Mei 2025, sebanyak 3,141 permohonan telah diluluskan sejak ia diperkenalkan pada 2007. – Bernama 

    Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, semasa di temu bual oleh media, pada 18 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda