Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sasaran lautan PBB tidak akan tercapai dalam lapan dekad

    LONDON, 21 OKT – Sasaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi dan memulihkan 30 peratus alam sekitar menjelang 2030 tidak akan dicapai dalam persekitaran lautan sehingga 2107, lapor agensi berita Jerman (dpa) berdasarkan analisis Greenpeace.

    Ketika bermulanya Cop16 Biodiversiti PBB di Cali, Colombia, yang bermula hari ini, kumpulan kempen antarabangsa menerbitkan laporan yang memberi amaran tentang kadar kemajuan yang perlahan ke arah matlamat itu.

    Sasaran itu dipersetujui pada Cop biodiversiti terakhir di Montreal pada 2022, di mana negara anggota bersetuju untuk melindungi alam sekitar merentasi darat dan laut.

    Perjanjian Lautan Global kemudiannya dipersetujui pada 2023 untuk membolehkan negara anggota mengambil tindakan yang bersungguh-sungguh ke arah memenuhi komitmen melindungi persekitaran marin dalam sasaran alam sekitar yang lebih luas.

    Laporan Greenpeace menetapkan rancangan yang menggariskan usaha semasa dan halangan utama untuk mencapai matlamat.

    Ia mendapati dalam tempoh 32 tahun sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio, di mana Konvensyen PBB untuk Biodiversiti ditubuhkan, kurang daripada tiga peratus lautan dunia dilindungi sepenuhnya daripada aktiviti manusia.

    Ini termasuk kurang daripada satu peratus daripada laut lepas, kawasan lautan yang luas di luar bidang kuasa mana-mana negara.

    Ia berlaku ketika Greenpeace United Kingdom (UK) menghantar surat kepada menteri Britain menggesa kerajaan untuk mengambil peranan utama dalam perbincangan biodiversiti Cali dengan mendesak tindakan bersungguh-sungguh bagi meletakkan sasaran kembali kepada landasannya.

    Di UK, laporan itu menjelaskan hanya dua daripada 386 kawasan perlindungan marin (MPA) dilindungi sepenuhnya daripada semua aktiviti perikanan. – Bernama

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda