Oleh James Kon –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Pasukan Bola Sepak Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) muncul juara Kejohanan Liga Super Bola Sepak Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSFSL) 2025 hari ini di Padang Kompleks Sukan Berakas.
Tempat kedua disandang oleh Sekolah Menengah Muda Hashim dan tempat ketiga Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS).
Anugerah penjaring terbanyak pula dimenangi oleh Mohd Hafiy Hakeem bin Azizan dari MSPSBS.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Kejohanan itu terbuka kepada para pelajar dari sekolah menengah kerajaan dan swasta, kolej dan pusat tingkatan enam di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mengenal pasti pelajar yang berbakat dan berpotensi dalam sukan bola sepak untuk mewakili Pasukan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Selain itu, kejohanan berkenaan juga bertujuan untuk mengukuhkan dan meningkatkan hubungan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi berkaitan dalam mempromosikan pendidikan melalui bola sepak, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan gaya hidup sihat dan mempromosikan kesejahteraan untuk semua peringkat umur dalam masyarakat.