Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satelit EarthCARE siasat cara awan pengaruhi perubahan iklim

    AMERIKA SYARIKAT, 29 MEI – Sebuah roket yang membawa satelit canggih dilancarkan dari California kelmarin dalam misi untuk menyiasat peranan awan dalam usaha untuk menangani perubahan iklim.

    Pengorbit EarthCARE, hasil kerjasama antara Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan agensi angkasa JAXA Jepun, dilancarkan pada roket SpaceX, Falcon 9 dari pangkalan udara Vandenberg pada 3:20 petang waktu tempatan kelmarin.

    “Alat pengepit roket telah melepaskan Falcon 9 dan kami telah memulakan penerbangan kami,” kata ESA di laman webnya.

    Satelit dua tan itu akan mengorbit hampir 400 kilometer di atas Bumi selama tiga tahun.

    “Pelancaran malam itu adalah peringatan bahawa ruang angkasa bukan sahaja tentang penerokaan galaksi dan planet jauh. Ia mengenai memahami Bumi kita yang cantik tetapi rapuh,” kata Pengarah ESA, Josef Aschbacher dalam video yang disiarkan kelmarin di media sosial.

    Awan daripada kumulus dan cirrus hingga kumulonimbus adalah fenomena yang berbeza dan rumit.

    Komposisi awan bergantung pada tempat mereka berada di troposfera, lapisan atmosfera paling rendah di Bumi, jelas Dominique Gillieron, ketua jabatan projek pemerhatian Bumi ESA, Dominique Gillieron.

    “Mereka adalah salah satu penyumbang utama kepada perubahan iklim dan salah satu yang paling kurang difahami,” beritahu Gillieron kepada AFP.

    Troposfera bermula pada kira-kira lapan kilometer di atas kawasan kutub, tetapi berhampiran khatulistiwa ia bermula sekitar 18 kilometer ke atas. Ini bermakna awan mempengaruhi iklim secara berbeza bergantung pada altitud dan latitudnya.

    Awan kumulus putih dan terang, yang terdiri daripada titisan air, terletak rendah dan berfungsi seperti payung, memantulkan sinaran Matahari kembali ke angkasa dan menyejukkan atmosfera. – AFP

    Satelit EarthCARE dilihat melalui kabus pada roket SpaceX Falcon 9 di pangkalan Pasukan Angkasa Vandenberg di Lompoc, California pada 28 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda