Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satelit kayu pertama dunia dilancarkan ke angkasa

    TOKYO, 5 NOV – Satelit kayu pertama di dunia telah dilancarkan dengan roket SpaceX, kata firma Jepun hari ini, sebagai sebahagian daripada misi bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

    Para saintis di Universiti Kyoto menjangkakan bahan kayu tersebut akan terbakar ketika satelit memasuki semula atmosfera – berpotensi menyediakan cara untuk mengelak menghasilkan zarah logam apabila satelit yang telah ‘bersara’ kembali ke Bumi.

    Zarah-zarah itu mungkin memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan telekomunikasi, kata pencipta satelit.

    Setiap sisi satelit eksperimen berbentuk kotak yang dinamakan LignoSat itu berukuran hanya 10 sentimeter (empat inci).

    Ia dilancarkan dengan roket tanpa pemandu dari Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida, kata Pusat Angkasa Manusia Universiti Kyoto.

    Gambar fail bertarikh 28 Mei lalu menunjukkan Takao Doi, angkasawan dan profesor khas di Universiti Kyoto, memegang satelit kayu pertama di dunia di kampus universiti tersebut. – AFP

    Satelit itu, yang dipasang dalam bekas khas yang disediakan oleh Agensi Eksplorasi Angkasa Jepun, ‘telah terbang ke angkasa dengan selamat,’ tambahnya dalam hantaran di X.

    Jurucakap untuk Sumitomo Forestry, salah seorang pencipta LignoSat, memberitahu AFP bahawa pelancaran itu ‘berjaya’.

    “Ia akan tiba di ISS tidak lama lagi dan akan dilepaskan ke luar angkasa kira-kira sebulan kemudian untuk menguji kekuatan dan ketahanannya,” katanya.

    Data akan dihantar dari satelit kepada penyelidik yang dapat memeriksa tanda-tanda tekanan dan menentukan sama ada satelit tersebut dapat bertahan dalam perubahan suhu yang ekstrem.

    “Satelit yang bukan dibuat daripada logam seharusnya menjadi teknologi utama,” kata Takao Doi, seorang angkasawan dan profesor khas di Universiti Kyoto, pada sidang akhbar awal tahun ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda