Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Satu dalam 10 orang dewasa menghidap diabetes di Brunei

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Satu daripada setiap 10 orang dewasa di Negara Brunei Darussalam menghidap diabetes dan penyakit tersebut kekal sebagai salah satu penyebab utama kematian selepas sakit jantung dan kanser.

    Dapatan itu adalah hasil kaji selidik Brunei STEPS 2015-2016, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia hari ini.

    Apa yang lebih membimbangkan, hampir satu daripada dua orang dewasa tidak menyedari mereka menghidap diabetes dan terdapat 6.7 juta kematian akibat diabetes direkodkan pada 2021, iaitu dalam setiap 5 saat, seorang pesakit yang menghidap diabetes telah meninggal dunia di seluruh dunia, menurut laporan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF).

    Sehubungan itu, menyedari ancaman kesihatan global bagi diabetes, IDF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 1991 telah melancarkan Hari Diabetes Sedunia yang kini merupakan kempen kesedaran diabetes terbesar di dunia yang diadakan setiap 14 November. Tema Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2021–2023 adalah Akses kepada Penjagaan Diabetes, menurut Yang Berhormat Dato.

    Sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada keperluan untuk akses yang lebih baik kepada pendidikan diabetes yang berkualiti bagi pakar perubatan dan individu yang menghidap penyakit diabetes iaitu Pendidikan untuk Melindungi Hari Esok.

    Terdahulu, dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato berkata, ke arah usaha berterusan bagi membendung penyakit diabetes, rakyat dan penduduk tetap di negara ini berpeluang untuk mendapatkan akses kepada sistem penjagaan kesihatan yang disediakan secara percuma oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Perkhidmatan diabetes yang komprehensif ini termasuk penyediaan klinik diabetes, penjagaan antenatal diabetes, pendidikan oleh jururawat pendidikan diabetes (DNE) dan pakar pemakanan, pemeriksaan tahunan mata (retinopathy screening), pemeriksaan dan penjagaan kaki bagi mereka yang menghidap diabetes oleh pakar podiatrist, serta klinik pakar lain untuk menguruskan komplikasi yang berkaitan dengan diabetes.

    Menyentuh mengenai aspek pembangunan kemahiran jururawat khususnya dalam bidang rawatan penjagaan diabetes, Yang Berhormat Dato berkata, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Politeknik Brunei telah menubuhkan Sijil Diploma Tahap 5 dalam jurusan Program Sains Kesihatan bagi DNE, yang mana bagi kohort pertama, seramai 18 orang jururawat telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini.

    “Program ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan amalan terbaik dalam penjagaan diabetes, dan memastikan DNE terlatih dalam menyediakan pendidikan diabetes yang komprehensif. Program ini akan terus dilaksanakan pada tahun depan memandangkan Kementerian Kesihatan memerlukan lebih ramai DNE untuk menangani peningkatan kadar diabetes di negara ini,” kongsi beliau.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato turut berkata, dalam usaha kerajaan untuk mengawal peningkatan penyakit diabetes di negara ini, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama EVYD Technologies sedang menjalankan Kajian Pengurusan Diabetes yang disasarkan untuk membantu individu yang menghidap diabetes jenis 2 dalam penjagaan diabetes masing-masing.

    “Antara lain, objektif kajian ini adalah bagi menilai keberkesanan kaedah-kaedah pengawalan secara digital dalam penjagaan diabetes. Mereka yang menghidap diabetes jenis 2 yang tidak menggunakan terapi insulin adalah digalakkan untuk menyertai kajian ini yang mana penyertaannya akan ditutup pada penghujung November ini. Maklumat mengenai kajian ini boleh didapati di pusat kesihatan tertentu di seluruh negara, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan melalui media sosial Kementerian Kesihatan,”
    ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...