Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu daripada lima mangsa bencana hadapi masalah kesihatan mental

    CYBERJAYA, 12 OKT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan satu daripada lima individu yang terkesan akibat bencana atau konflik, menghadapi masalah kesihatan mental termasuk kemurungan, keresahan dan trauma manakala sembilan peratus lagi mengalami gangguan mental sederhana sehingga teruk yang memerlukan rawatan profesional.

    Memetik data berkenaan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Malaysia tidak terkecuali daripada cabaran itu apabila tragedi seperti kehilangan pesawat MH370 dan MH17, gempa bumi di Ranau, Sabah dan tanah runtuh di Batang Kali, Selangor telah meninggalkan kesan yang mendalam bukan sahaja dari aspek fizikal dan ekonomi, tetapi juga dari segi emosi, psikologi dan sosial.

    “Krisis kesihatan mental dalam bencana bukan hanya berlaku di negara kita, tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

    “Kita melihat bagaimana konflik yang berpanjangan di Palestin memberikan kesan trauma mendalam kepada mangsa perang, terutamanya kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesihatan Mental Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

    Bertemakan ‘Akses Kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental Dalam Krisis dan Bencana’, sambutan tahun ini memfokuskan usaha memastikan kebolehcapaian akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dalam situasi kecemasan, krisis dan bencana. 

    Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sebagai satu daripada komponen respons bencana kebangsaan dan sejak 2018, KKM bersama dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) telah melatih pegawai pelbagai profesion dalam intervensi psikologi semasa bencana. – Bernama

    Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) beramah mesra bersama para tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di Taman Tasik Cyberjaya kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda