Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu gol mampu ubah hidup anda – Stojkovic

    GUANGZHOU – Gol-gol mengubah permainan dalam bola sepak namun bagi Dragan Stojkovic, lelaki yang diramalkan Arsene Wenger untuk menggantinya di Arsenal, satu gol telah mengubah laluan kerjayanya dan menyaksikan dirinya mendarat di China berbanding di pasukan Liga Perdana bersama Swansea.

    Legenda Yugoslavia berusia 53 tahun itu, yang ketika ini mengendalikan Guangzhou R&F dalam Liga Super China (CSL), memberitahu AFP bahawa dia nyaris-nyaris menyertai Swansea pada tahun 2015 dan juga menolak peluang untuk menerajui pasukan negaranya di Piala Dunia tahun ini.

    “Tiada penyesalan, setentunya tiada penyesalan,” kata bekas pemain tengah hebat itu dalam satu temu bual di pusat latihan R&F, pasukan yang dikendalikannya selama lebih tiga tahun.

    Stojkovic, antara pemain terbaik dari bekas Yugoslavia, berkata bahawa dia gembira di selatan China, meskipun R&F, yang enggan berbelanja besar, berada di kedudukan pertengahan CSL.

    Namun bekas bintang Red Star Belgrade, Marseille dan Nagoya Grampus Eight itu mengakui kadangkala dia merindui bola sepak elit Eropah dan bangun awal pagi untuk menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana.

    Stojkovic ketika menghadiri sesi latihan pasukannya di China baru-baru ini. Stojkovic berkata dia nyaris mengambil alih tugas Garry Monk di Swansea sehingga tandukan lewat Bafetimbi Gomis memberikan kelab Wales itu kemenangan mengejut 1-0 di Arsenal pada bulan Mei 2015. – AFP
    Arsenal Wenger ketika berada di Majlis Anugerah Bola Sepak Best FIFA di London baru-baru ini. Wenger pernah menamakan Stojkovic sebagai lelaki yang akan menggantikannya di Arsenal. – AFP

    Stojkovic berkata dia nyaris mengambil alih tugas Garry Monk di Swansea sehingga tandukan lewat Bafetimbi Gomis memberikan kelab Wales itu kemenangan mengejut 1-0 di Arsenal pada bulan Mei 2015.

    “Saya meluangkan masa tiga kali bercakap dengan bos (Swansea),” katanya. “Ia kelihatannya semua dalam keadaan baik dan kemudian Swansea menang 1-0 ke atas Arsenal di Emirates jadi anda mungkin gila untuk menggantikan seseorang jurulatih itu jika menang di sana.”

    Ia sudah terlambat

    Stojkovic mencari-cari kerja lain setelah meluangkan masa enam tahun mengendalikan pasukan Nagoya di Jepun, di mana dia juga bermain cemerlang di akhir kerjayanya sebagai pemain.

    Dia telah dilantik sebagai jurulatih di R&F pada Ogos 2015, mengambil alih jawatan yang kosong selama lebih setahun lebih awal oleh bekas pengurus England, Sven-Goran Eriksson.

    “Kemudian 10 hari selepas saya menandatangani kontrak di sini, saya menerima panggilan dari mereka (Swansea) sekali lagi. Saya kata, ‘Ia sudah terlambat, saya sudah berada di China’.

    “Saya berkata bahawa saya tidak boleh mengubah keputusan saya, saya sudah berada di sini. Tetapi di masa hadapan siapa tahu, kita akan lihat nanti.”

    Stojkovic, bakat pemain perancang yang hebat namun prestasi terbaiknya di Marseille diragut oleh kecederaan, berdepan dengan satu dilema musim panas ini apabila Serbia memanggilnya.

    Menurut Stojkovic, negaranya mahu dia mengambil alih pasukan negara sebagai jurulatih sementara bagi Piala Dunia dan masih mengekalkan tugasnya di R&F.

    “Secara teknikalnya ia dibolehkan, namun pada satu pandangan ia agak kurang profesional, namun tidak juga begitu serius,” katanya.

    “Sembilan daripada 10 jurulatih akan melakukannya, mereka akan menerimanya, namun saya adalah seorang daripada 10 itu berkata tidak.

    “Suatu hari, mungkin (akan melatih Serbia), tiada siapa tahu. Satu gol mampu mengubah hidup anda,” katanya tersenyum, merujuk pada kemenangan mengejut Swansea ke atas Arsenal.

    Stojkovic, ketika itu jurulatih Nagoya, berjabat tangan dengan Wenger sebelum perlawanan persahabatan di Jepun pada 22 Julai 2013. – AFP
    Stojkovic ketika ditemu bual di Guangzhou. Dia menceritakan bahawa Swansea ada menelefonnya namun ketika itu dia sudah menandatangani kontrak bersama Guangzhou R&F. – AFP

    ‘Wang gila untuk nama gila’

    Stojkovic menggambarkan bekas pengurus Arsenal, Wenger, sebagai ‘mentor’ kejurulatihannya dan mereka kekal rapat, pernah berganding pada tahun 1995 semasa warga Perancis itu mengendalikan Nagoya.

    “Saya mendapat keistimewaannya, namun dia juga mempunyai keistimewaan melatih saya,” katanya.

    Kedua-duanya berkongsi falsafah bola sepak yang sama, yang bermakna pemain-pemain muda diberikan peluang, bermain bola sepak menarik, bola sepak menyerang dan tidak berbelanja ‘wang gila untuk nama gila’.

    Wenger pernah menamakan Stojkovic sebagai lelaki yang akan menggantikannya di Arsenal dan sementara itu tidak menjadi, pandangan warga Perancis itu bersinar dalam diri Stojkovic, yang mahu R&F menghasilkan ‘bola seka elegan dan bijak’.

    “Saya mencuba setiap hari, ia kelihatannya saya sudah mencapainya, untuk mencipta bola sepak yang cantik di China,” katanya.

    Ia mengambil masa untuk berhasil, namun Stojkovic berkata kesabaran adalah sesuatu yang jarang ada di China, di mana beberapa buah pasukan berbelanja besar-besaran ke atas pemain asing, seperti pemain Brazil Hulk dan Oscar di pendahulu CSL, Shanghai SIPG.

    “Orang ramai menunggu kejayaan esok, malah kelmarin jika tidak mustahil,” katanya, menggariskan cabaran bekerja di China dan menjelaskan kenapa bola sepak negara itu ketinggalan di belakang Jepun.

    “Anda tidak boleh terus berbelanja dalam tempoh lima, 10, 15 tahun. Ia tidak bagus untuk bola sepak.

    “Mereka (kelab China) seharusnya lebih teratur, menetapkan masa, mereka seharusnya lebih profesional, mereka perlu diperbaiki.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda