LONDON, 28 JAN – Satu kes selesema burung terhadap manusia yang jarang berlaku telah dikesan di England, kata Agensi Kesihatan dan Keselamatan United Kingdom (UKHSA), kelmarin.
“Individu itu mendapat jangkitan di ladang, di mana mereka mempunyai hubungan rapat dan berpanjangan dengan sejumlah besar burung yang dijangkiti. Akan tetapi risikonya kepada orang awam adalah sangat rendah,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Individu itu, yang dijangkiti jangkitan A (H5N1) di West Midlands England, berada dalam keadaan baik dan telah dimasukkan ke unit Penyakit Berjangkit Berisiko Tinggi (HCID), kata UKHSA dalam satu kenyataan.
Burung-burung itu dijangkiti genotip DI.2, yang berbeza dengan strain yang menular dalam kalangan mamalia dan burung di Amerika Syarikat, tambahnya.
“Risiko selesema burung kepada orang awam kekal sangat rendah walaupun kes ini disahkan”, kata Ketua Penasihat Perubatan di UKHSA, Susan Hopkins.
Tiada bukti setakat ini bahawa strain influenza A (H5N1) boleh menular daripada manusia kepada manusia.
“Walaupun H5N1 menular pada burung, ia adalah kejadian yang jarang berlaku dan sangat khusus untuk keadaan di ladang ini,” kata Ketua Pegawai Veterinar UK, Christine Middlemiss. – AFP