Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan e-sukan raih pingat emas selamat pulang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS- Pasukan e-sukan negara yang berjaya meraih satu pingat emas di temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) 2024 semalam selamat tiba di Negara Brunei Darussalam.

    Hadir menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan seterusnya mengalungkan sesandang serta memberikan ucapan tahniah ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, 

    Turut hadir ialah Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim,  serta pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan.

    Pasukan e-sukan Negara terdiri daripada Awang Muhd Safwan Hakimi bin Abdullah Husaini, Awang Muhd Danial Hadhrami Safiuddin bin Muhaimin, Awang Muhd Danish Haqeeme Hizami bin Muhaimin, Awang Mohammad Hadif Fadhli bin Sufari dan Awang Mohd Awie Azhar bin Hamzah dalam acara PUBG Mobile berjaya mengumpul jumlah kutipan mata secara keseluruhan sebanyak 168 mata.

    Turut mengiringi ialah kontinjen Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada Chef de Mission, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, fisioterapi, jurulatih dan atlet e-sukan serta jurulatih dan atlet sukan catur selepas berada di Kuching, Sarawak bagi mengikuti temasya Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) 2024.

    Pada edisi SUKMA kali ini, kontinjen Negara Brunei Darussalam telah berjaya membawa pulang dua pingat emas melalui sukan wushu dan e-sukan, dua pingat perak melalui sukan karate dan tiga pingat gangsa yang diraih melalui sukan wushu, karate dan taekwondo.

    Pengiran Mohammad Amirrizal bergambar ramai bersama atlet E-Sports yang pulang kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda