SHANGHAI, 9 FEB – Sebuah tanah runtuh yang berlaku di wilayah Sichuan, barat daya China, yang disebabkan oleh hujan lebat, telah mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa, dengan hampir 30 lagi dilaporkan hilang, lapor media negara hari ini.
China telah dilanda cuaca ekstrem dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan puluhan orang terkorban akibat banjir tahun lalu, yang dianggap sebagai tahun paling panas dalam rekod negara tersebut.
Ahli sains mengatakan perubahan iklim semakin meningkatkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem.
Tanah runtuh tersebut berlaku kelmarin, sekitar jam 11:50 pagi di kampung Jinping di bandar Yibin.
Setakat pagi tadi, “seorang mangsa maut dan 28 lagi dilaporkan hilang,” lapor agensi berita negara, Xinhua.
Dua orang berjaya diselamatkan kelmarin dan lebih daripada 900 penyelamat sedang berusaha mencari mangsa yang masih hilang, menurut Xinhua.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/dl.beatsnoop.com-final-oXJmY0Ef6R.jpg)
Rakaman video yang disiarkan oleh penyiar negara CCTV pada awal pagi tadi menunjukkan penyelamat menggunakan lampu suluh mencari mangsa dalam serpihan runtuhan dalam kegelapan.
“Kajian awal menunjukkan bahawa bencana ini berlaku akibat pengaruh hujan lebat berpanjangan dan faktor geologi,” kata CCTV, memetik pihak berkuasa tempatan.
Presiden Xi Jinping telah mengarahkan pihak berkuasa pada Sabtu untuk melakukan “segala usaha untuk mencari dan menyelamatkan orang hilang, meminimumkan korban dan mengendalikan kesan bencana ini dengan baik.” – AFP