Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Satu maut puting beliung badai Texas

    LAGUNA HEIGHTS, TEXAS, 14 MEI – Seorang terbunuh dan perintah berkurung dikenakan selepas puting beliung kuat melanda sebuah komuniti berhampiran selatan Texas sebelum subuh semalam, merosakkan puluhan kediaman dan memutuskan talian elektrik, kata pihak berkuasa.

    Sekurang-kurangnya 10 yang lain dimasukkan ke hospital, termasuk dua orang yang disenaraikan dalam keadaan kritikal, kata Tom Hushen, penyelaras pengurusan kecemasan bagi Cameron County. Ramai penduduk turut mengalami luka dan lebam.

    Perintah berkurung waktu malam untuk mereka yang berumur 17 tahun ke bawah telah dikeluarkan oleh Eddie Trevino Jr., hakim Cameron County, dan dijangka berakhir 16 Mei untuk ‘mengurangkan kesan kecemasan kesihatan dan keselamatan awam.’

    Perintah itu juga melarang penduduk bukan Laguna Heights daripada memasuki kawasan perumahannya.

    Puting beliung melanda kira-kira jam 4 pagi ketika kebanyakan orang sedang tidur di rumah mereka di komuniti Laguna Heights, yang terletak di tanah besar di seberang Pulau Padre Selatan, di luar Teluk Mexico. Daerah ini mempunyai antara kadar kemiskinan tertinggi di Texas dan dipenuhi dengan perumahan yang tidak bermutu.

    Tidak adanya amaran awal. Sebaliknya, amaran pertama puting beliung ‘keluar pada masa yang sama ia mendarat,’ kata Barry Goldsmith, ahli meteorologi penyelarasan amaran untuk Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Brownsville.

    Ribut itu mencatatkan kelajuan angin 138-177 kilometer sejam dan dikategorikan sebagai puting beliung EF1, menurut perkhidmatan cuaca. Ia hanya mengambil masa kira-kira dua hingga empat minit tetapi ia memusnahkan kawasan itu.

    Sebanyak 60 buah rumah mengalami kerosakan. Hakim daerah mengisytiharkan deklarasi bencana, dan tempat perlindungan sementara di bandar berdekatan Port Isabel telah memberikan bantuan kepada 38 orang. – AP

    Penduduk menyelamatkan barangan dari sebuah rumah selepas puting beliung melanda komuniti Laguna Heights, Texas pada 13 Mei 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...