Saturday, December 28, 2024
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu premis perniagaan diberi notis amaran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sebanyak 16 unit alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan yang diperiksa adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).

    Sementara itu, satu notis amaran telah dikeluarkan kepada sebuah premis perniagaan kerana melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya di mana syarikat tersebut gagal memaparkan tanda harga pada beberapa barangan yang dijual dalam premis perniagaan.

    Dapatan berkenaan adalah hasil daripada operasi bersepadu secara mengejut ke atas lima buah premis perniagaan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit SDT dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di Daerah Brunei dan Muara pada 17 Oktober lalu.

    Syarikat tersebut telah diingatkan mengenai kepentingan memaparkan tanda harga dengan jelas dan betul bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian yang bermaklumat.

    Selain itu, JPES turut menekankan mengenai keperluan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dalam membantu mewujudkan persekitaran perniagaan yang wajar.

    Sehubungan itu, para pengguna alat sukatan dan timbangan adalah dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isi padu, ukur panjang dan lebar, mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.

    Di samping itu, para peniaga juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengemas kini harga maksimum bagi barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dengan antara lainnya menyemak harga terkini di dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak.

    Selain itu, sentiasa mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul pada barangan yang dijual di premis perniagaan.

    Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan seperti SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092.

    Jabatan Hal Ehwal Pengguna melalui Talian Darussalam 123 dan aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel ke aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Pegawai penguat kuasa memeriksa salah satu alat timbangan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    GAMBAR SERAHAN MOFE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda