Oleh Sim Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Produk kesihatan yang dikenali dengan Herba Kunyit Hitam yang dikeluarkan oleh HKH Warisan Tok Melah (Sungai, Perak) telah didapati dicemari dengan Dexamethasone dan Betamethasone setelah ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menegaskan, bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.
Pengambilan kortikosteroid Dexamethasone dan Betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras gula dalam darah yang mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.

Pengambilan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face serta kegemukan pada bahagian atas badan dengan anggota kaki dan tangan yang kurus.
Pengguna-pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala penarikan atau withdrawal symptoms jika pengambilan steroid diberhentikan secara mendadak.
Ini termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah yang rendah, tekanan darah yang rendah dan dehidrasi apabila steroid dihentikan tanpa pengawasan doktor.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk tidak menggunakan produk kesihatan yang didapati dicemari dengan bahan terlarang / bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk tersebut, dan berikutan dapatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk berkenaan dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta.
Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara atas talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, diingatkan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.
Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $ 16,000 dan 12 bulan penjara.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat dan perhubungan lanjut, mereka boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208.
Selain menghantar e-mel ke pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, atau berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kg Madaras, Mukim Gadong A atau hubungi Talian Darussalam 123.
