Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu produk kosmetik dicemar bahan terlarang

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Orang ramai disarankan untuk tidak menggunakan satu produk kosmetik yang telah dicemari dengan bahan terlarang/racun berjadual yang tersenarai di dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan.

    Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, produk kosmetik yang dicemari itu disahkan setelah hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Produk tersebut ialah Glowing Beauty Skincare by Glowing Beauty – Glowing Night Treatment telah dicemari dengan hydroquinone yang mana bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007.

    Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk tersebut dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk tersebut.

    Berikutan dapatan itu, produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Sehubungan itu, orang ramai yang telah menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta.

    Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk tersebut, termasuk penjualan secara dalam talian seperti melalui Facebook dan sebagainya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393301 sambungan 208 atau menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus Pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.

    Atas & bawah: Produk kosmetik Glowing Beauty Skincare by Glowing Beauty – Glowing Night Treatment yang dicemari dengan bahan terlarang.- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

     

     

     

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda