Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Satu produk kosmetik dicemari bahan terlarang

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Orang ramai diseru untuk tidak menggunakan satu produk kosmetik yang didapati dicemari dengan bahan terlarang/bahan racun berjadual yang tersenarai dalam Akta Racun 1956 yang tidak diisytiharkan, hasil daripada ujian makmal yang dijalankan oleh Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa produk kosmetik yang dicemari adalah Arche’ Pearl Cream buatan Thailand di mana produk berkenaan didapati dicemari dengan merkuri.

    Bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

    Merkuri merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

    Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.

    Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

    Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna dan boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

    Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk berkenaan dan / atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk berkenaan.

    Berikutan dapatan itu, produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

    Orang ramai yang telah menggunakan produk berkenaan adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta-merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

    Penjualan produk berkenaan termasuk penjualan secara atas talian seperti melalui Facebook dan sebagainya, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Pelesenan melalui talian telefon, 2393301 sambungan 208 atau Talian Darussalam 123, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn, berjumpa terus Pegawai Komplians dan Pelesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau menghubungi Talian Darussalam 123.

    Produk kosmetik yang didapati dicemari dengan bahan terlarang/bahan racun berjadual. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda