Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Syiar Islam di negara ini semakin meluas apabila seorang lelaki berbangsa Filipina melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di rumah kediaman Dato Paduka Haji Nordin bin Haji Yussof di Jalan Pasir Berakas hari ini.
John Kenneth Ablawan Abuyo, berusia 27 tahun melafazkan ikrar pengislamannya di hadapan pegawai dari Unit Pengislaman, Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI). Dengan pengislamannya itu, beliau kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Abdul Aziz bin Abdullah.
Hadir menyaksikan majlis pengislaman berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Majlis pengislaman tersebut diraikan dengan laungan takbir dan diikuti dengan Selawat serta bacaan Doa selamat.

Majlis juga diteruskan dengan sumbangan derma anak-anak yatim dari Kampung Lambak Kanan dan kawasan sekitarnya.
Seramai 30 orang anak-anak yatim menerima sumbangan berupa wang tunai, sumbangan ikhlas daripada Dato Paduka Haji Nordin yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Menurut kenyataan PDI, catatan keramaian yang memeluk agama Islam di seluruh negara bagi bulan Januari hingga Disember 2017 adalah seramai 409 dan catatan bagi Januari hingga Mei 2018 seramai 200 orang. Manakala, catatan bagi Daerah Brunei dan Muara bermula bulan Januari hingga Mei adalah seramai 103 orang yang memeluk Islam.