Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saudara kembar ubahsuai pesawat jadi kafe di tebing barat

    RAMALLAH, TEBING BARAT – Beberapa orang Palestin di Tebing Barat yang dikepung menaiki sebuah pesawat baru-baru ini. Kawasan tersebut tidak memiliki lapangan terbang awam dan tiada sesiapa yang mampu membeli tiket penerbangan di negara jiran mereka, Jordan.

    Walau bagaimanapun, di luar utara kota Nablus, sepasang kembar menawarkan kepada orang ramai sesuatu yang menyeronokkan.

    Khamis al-Sairafi dan adiknya Ata telah mengubahsuai sebuah pesawat Boeing 707 menjadi sebuah kafe dan restoran untuk dikunjungi pelanggan.

    “Sejumlah 99 peratus orang Palestin tidak pernah menaiki pesawat. Hanya duta besar, diplomat, menteri dan datuk bandar kami yang pernah menaikinya. Sekarang mereka melihat adanya pesawat dan ini adalah peluang untuk mereka,” jelas Khamis al-Sairafi.

    Setelah seperempat abad, usaha pasangan adik-beradik itu membuka ‘The Palestinian-Jordanian Airline Restaurant and Coffee Shop al-Sairafi’ berjaya pada 21 Julai lalu.

    Para pengunjung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar di dalam pesawat yang diubah menjadi kafe. – AP
    Pesawat Boeing 707 telah diubah menjadi kafe, di Wadi Al-Badhan, di luar kota Tebing Barat Nablus. – AP
    Kelihatan pengunjung menikmati minumannya di bawah badan pesawat. – AP

    Keluarga, rakan-rakan dan pasangan menikmati minuman di kafe yang terletak di bawah badan pesawat tersebut. Kebanyakan pengunjung yang lain merakamkan gambar di dalam pesawat dengan bayaran lima shekels (kira-kira AS$1.50) setiap seorang.

    Para pelanggan mengatakan mereka merasa tertarik untuk melawat setelah melihat gambar-gambar pesawat yang diubahsuai yang tular online. “Setelah sekian lama, saya ingin melihat kawasan ini. Saya berharap saya dapat melihat tempat ini sebelum diubahsuai menjadi kafe,” kata seorang pelanggan, Majdi Khalid.

    Dalam beberapa tahun, pesawat tersebut terbiar di tepi lebuh raya utama di Tebing Barat, menimbulkan persoalan bagi mereka yang melaluinya akan kewujudannya.

    Impian kembar berusia 60 tahun untuk mengubah pesawat menjadi kafe dan restoran diilhamkan sejak akhir 1990an ketika Khamis melihat pesawat Boeing yang terbengkalai berdekatan bandar Safed, Israel utara.

    Pada ketika itu, pesawat sudah memiliki sejarah yang terkenal. Pesawat ini digunakan oleh kerajaan Israel dari tahun 1961 hingga 1993 dan menerbangkan Perdana Menteri ketika itu Menachem Begin ke Amerika Syarikat pada tahun 1978 untuk menandatangani perjanjian damai bersejarah Israel dengan Mesir, menurut Channel 12 TV.

    Ia kemudian dibeli oleh tiga rakan perniagaan Israel yang bermimpi mengubahnya menjadi restoran, tetapi projek itu ditinggalkan berikutan tidak bersetuju dengan pihak berkuasa tempatan, kata stesen itu.

    Setelah mengesan salah seorang pemiliknya, saudara kembar itu bersetuju untuk membelinya dengan harga AS$100,000 pada tahun 1999. Mereka menghabiskan AS$50,000 tambahan untuk lesen, permit dan untuk mengangkutnya ke Tebing Barat.

    Khamis berkata, datuk bandar Nablus ketika itu, Ghassan Shakaa, dengan cepat mempersetujui pengangkutan dan pengubahsuaian pesawat.

    Memindahkan pesawat ke Nablus adalah operasi selama 13 jam, yang memerlukan sayap dibongkar dan penutupan sementara jalan di Israel dan Tebing Barat. Pada masa itu, Israel dan Palestin terlibat dalam rundingan damai dan pergerakan agak mudah.

    Saudara kembar al-Sairafi merupakan pedagang yang berjaya dan pedagang besi buruk. Mereka sering berulang alik ke Israel membeli kepingan logam yang kemudian mereka jual dan dileburkan di Tebing Barat.

    Mereka juga memiliki perniagaan pembuangan sampah yang berjaya dan menggunakan pendapatan mereka untuk membangun taman hiburan termasuk kolam renang dan tempat konsert di sebidang tanah yang sama di mana pesawat itu ditempatkan.

    Tetapi mereka mengatakan projek mereka ditangguhkan setelah berlakunya pemberontakan Palestin kedua pada akhir tahun 2000.

    Sebuah pusat pemeriksaan tentera Israel dibina berdekatan, kata mereka, yang menghalang pelanggan dari bandar Nablus berdekatan untuk sampai ke lokasi. Pusat pemeriksaan kekal selama tiga tahun dan tentera Israel mengambil alih lokasi tersebut. Projek itu musnah.

    ‘’Mereka bahkan membina khemah di bawah sayap pesawat, ‘’ kata Ata al-Sairafi.

    Tentera Israel enggan mengulas mengenainya. Selama hampir 20 tahun, kapal terbang dan kawasan itu ditinggalkan. Setelah pemberontakan reda pada pertengahan tahun 2000an, saudara kembar itu muncul dengan perniagaan pembuangan sampah mereka dan taman hiburan kecil di Nablus yang mereka buka pada tahun 2007.

    Setelah lebih dari satu dekad menabung, mereka memutuskan pada tahun 2020 untuk mula membina semula apa yang mereka kehilangan, kali ini bermula dengan pengubahsuaian pesawat yang akhirnya menjadi restoran. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda