Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Ahli-ahli Jawatankuasa Saudara Ku Kampung Setia, semalam, telah mengungkayahkan majlis Doa Kesyukuran sempena kejayaan pasukan Saudara Ku Kampung Setia menduduki tangga kelima daripada 25 pasukan bagi Kategori Kampung dan Masjid semasa Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat negara, bulan lalu.
Majlis berlangsung di kediaman Awang Muhammad A’arafah bin Haji Zainin di Kampung Katok ‘B’, di mana wakil Ketua Pasukan Maulud Nabi Muhammad SAW Saudara Ku Kampung Setia, Mejar (B) Haji Tapa @ Haji Mustapha bin Haji Aris dalam ucapannya antara lain mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada yang terlibat baik secara langsung ataupun tidak terutama dalam perarakan Maulud Nabi.
Menurut beliau, mereka yang terlibat telah menunjukkan semangat dan kerjasama serta perpaduan yang telah dipamerkan sejak sepanjang menjalani latihan sehinggalah berlangsungnya perarakan sekali gus telah menghasilkan kejayaan.
“Semangat yang kental dan ingin meraih kejayaan, maka ianya berhasil, sepertimana perkataan yang sering dihebahkan yang sinonim dengan orang-orang kitani Brunei iaitu Berkarih, Berjarih dan Berlorih”, ujarnya.
Menurut beliau lagi, selain mencapai beberapa kejayaan dalam menyertai perarakan sejak 2015, Saudara Ku Kampung Setia juga telah berjaya dalam menghimpunkan dan menyatupadukan ahli-ahli Saudara Ku Kampung Setia dan Saudara Ku Wanita Kampung Setia seramai 238 orang pada masa ini dan telah berjaya melaksanakan beberapa acara dan majlis.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian cenderamata berbentuk gambar ramai semasa menyertai perarakan Maulud Nabi pada tahun ini, yang disempurnakan oleh Profesior Madya Dr Haji Asbol bin Haji Mail kepada para peserta.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Haji Ariffin bin Haji Hassan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan yang diraih.
