Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saudi Aramco catat keuntungan suku pertama AS$26 bilion

    DUBAI, 11 MEI – Syarikat minyak gergasi milik kerajaan Arab Saudi, Aramco mencatat keuntungan suku pertama sebanyak AS$26 bilion hari ini, turun 4.6 peratus daripada tahun sebelumnya disebabkan kejatuhan harga minyak global menjejaskan rancangan pembangunan bernilai berbilion dolar kerajaan itu.

    Aramco, secara rasmi dikenali sebagai Saudi Arabian Oil Co., mempunyai pendapatan AS$108.1 bilion pada suku tersebut, lapor syarikat itu dalam pemfailan di bursa saham Tadawul Riyadh.

    Syarikat itu melaporkan pendapatan berjumlah AS$107.2 bilion dan keuntungan AS$27.2 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

    Arab Saudi telah berjanji untuk melabur AS$600 bilion di Amerika Syarikat sepanjang tempoh kepimpinan Presiden Donald Trump.

    Trump, yang akan tiba di Riyadh pada Selasa untuk lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dia menerajui semula Pejabat Oval, berkata pada Januari dia mahu jumlah yang lebih tinggi, pada AS$1 trilion.

    Sementara itu, pemerintah de facto Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menyasarkan projek bernilai AS$500 bilion untuk membina Neom, sebuah bandar futuristik yang luas di padang pasir di sepanjang Laut Merah.

    Pengumuman keputusan suku pertama Aramco keluar selepas pakatan OPEC+ meningkatkan pengeluaran minyak. Kartel minyak berkenaan telah bersetuju untuk menambah pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari pada bulan depan, disebabkan ketidaktentuan yang didorong oleh tarif AS telah menjejaskan pasaran Timur Tengah. – AP

    Jurutera dan wartawan Saudi Aramco melihat Loji Pemulihan Gas Cecair Asli Hawiyah di Hawiyah, timur Arab Saudi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda