Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saudi Aramco komited perluaskan fasiliti di Johor

    RIYADH, 22 OKT – Saudi Aramco komited untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas supaya ia menjadi hab terbesar di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata perkara itu telah dinyatakan oleh kepimpinan syarikat minyak dan gas terbesar dunia itu pada sesi perbincangan bersamanya di Hotel Ritz-Carlton di sini pada pagi Sabtu.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bertemu dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H Nasser untuk berbincang lebih lanjut mengenai rancangan pelaburan syarikat itu.

    Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.

    Pada 2017, syarikat minyak dan gas nasional Arab Saudi itu telah menjalin pelaburan bersama dengan Petronas di Pengerang.

    Selain itu, Anwar berkata beliau turut menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir ALRumayyan yang membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.

    Malah, beliau berkata PIF yang peranannya sama seperti Khazanah Nasional Bhd di Malaysia, bersetuju mengadakan kerjasama dengan Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

    “Ini selaras dengan usaha untuk meningkatkan pelaburan bersama bukan sahaja di Arab Saudi malah di Malaysia. Buat permulaan, ada hasrat untuk bekerjasama dengan melakukannya di Iraq dan benua Afrika,” kata beliau. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Aramco pada 21 Oktober. Turut hadir, Dr Majid Abdullah Alkassabi (empat kanan) dan Amin H Nasser (tiga kanan). – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda