RIYADH, 9 JUN – Pasukan keselamatan Arab Saudi kelmarin melakukan ‘tindakan pembersihan’ ke atas ratusan ribu jemaah tanpa permit haji yang berada di Mekah, sebelum ibadah itu bermula minggu depan.
Pengurusan jemaah menjadi tumpuan utama Arab Saudi setiap kali musim haji dengan menurut statistik rasmi tahun lalu, lebih 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Menurut Saudi Press Agency (SPA), dalam tempoh beberapa hari lalu, individu yang dikesan tiada permit haji dari kota suci, rumah kepada Masjidilharam, termasuk 153,998 warga asing yang memasuki Mekah dengan visa pelancong dan bukannya visa haji yang diperlukan.
Selain itu, SPA turut memberitahu, seramai 171,587 individu lain dikenal pasti berada di Arab Saudi, namun mereka bukan dalam kalangan penduduk Mekah dan tidak mempunyai permit haji.
Ibadat haji yang bakal bermula 14 Jun depan wajib untuk dilaksanakan umat Islam yang berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Ia membabitkan pelaksanaan rukun haji dengan jemaah perlu berada di Mekah sekurang-kurangnya empat hari dengan ibadah itu turut membabitkan kawasan lain sekitar barat Arab Saudi.
Ramai individu cuba mengerjakan haji melalui saluran tidak rasmi, memandangkan permit rasmi dan pakej haji menelan kos yang tinggi dengan kuota adalah terhad untuk jemaah dari setiap negara.
Kehadiran jemaah dalam skala besar ketika musim haji seperti tahun terdahulu dibimbangi mengundang bahaya, antaranya peristiwa rempuhan pada 2015 ketika ibadah melontar di Mina, yang terletak berhampiran Mekah.
Insiden berkenaan mengorbankan sehingga 2,300 jemaah dan ia adalah kematian tertinggi pernah direkodkan sepanjang musim haji.
Kebimbangan kemungkinan kejadian sama berulang mendorong pihak berkuasa Arab Saudi mengambil tindakan tegas terhadap jemaah haji yang tidak memiliki permit sah. – AFP

