WASHINGTON, 1 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata semalam Raja Arab Saudi, Raja Salman telah bersetuju dengan permintaan beliau untuk menambah pengeluaran minyak, seminggu selepas OPEC mengumumkan pertambahan pengeluaran.
Agensi Akhbar Saudi mengesahkan satu panggilan telefon di antara kedua-dua pemimpin mengenai minyak, tetapi tidak menyatakan sebarang butiran-butiran khusus.
“Baru bercakap kepada Raja Salman dari Arab Saudi dan menjelaskan kepada beliau bahawa, disebabkan krisis di Iran dan Venezuela, saya meminta Arab Saudi supaya menambah pengeluaran minyak, mungkin sehingga 2,000 tong, untuk mengganti perbezaan yang muncul,” umum Trump di Twitter pada awal hari ini.
“Harga terlalu tinggi! Beliau telah bersetuju!”
Seterusnya, Rumah Putih mengeluarkan satu kenyataan berkata “Kedua-dua pemimpin mengesahkan dedikasi mereka kepada pasaran minyak yang sihat dan stabil demi kepentingan semua negara.”
“Kedua-dua pemimpin bersetuju keseimbangan pasaran minyak global adalah penting untuk memastikan pemerolehan minyak untuk orang di semua tempat,” katanya.
“Sebagai tindak balas terhadap penilaian presiden mengenai satu defisit dalam pasaran minyak, Raja Salman mengesahkan negara itu mengekal kapasiti tambahan sebanyak dua juta tong sehari, yang akan digunakan dengan bijak apabila perlu untuk menjamin keseimbangan dan kestabilan pasaran dan dalam kerjasama dengan rakan pengeluarnya, untuk menghadapi sebarang kemungkinan.”
Agensi Akhbar Saudi juga berkata Trump telah menghubungi Salman dan kedua-dua mereka menekankan ‘keperluan berusaha demi memelihara kestabilan pasaran minyak dan pertumbuhan ekonomi global’. – AFP