Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saudi tempah pesawat jet elektrik bawa jemaah ke Mekah

    RIYADH, 14 OKT – Syarikat penerbangan Arab Saudi sedang beralih kepada sebuah firma Jerman untuk pesawat jet elektrik bagi melayani laluan ke resort mewah baharu dan bandar suci Mekah, kata seorang pegawai.

    Pesawat udara dari Lilium yang berpangkalan di Munich itu akan menyediakan penerbangan langsung ke laluan-laluan yang sukar diakses di sepanjang pantai Laut Merah dan membawa jemaah Muslim secara langsung dari Jeddah ke Mekah, yang tidak mempunyai lapangan terbang, kata Pengurus Hal Ehwal Komunikasi Saudia, Razan Shaker.

    “Strategi kami adalah untuk membantu menghubungkan lokasi-lokasi dan bandar-bandar yang tidak mempunyai lapangan terbang atau yang mungkin sukar diakses,” beritahunya kepada AFP pada sidang forum logistik di Riyadh.

    Rancangan itu termasuk membawa jemaah ke hotel ikonik Fairmont Makkah Clock Royal Tower, berhampiran Masjidil Haram, di mana ‘kami sedang berusaha untuk membina sebuah helipad,’ tambahnya.

    Pada bulan Julai, Saudia mengumumkan bahawa ia membeli 50 pesawat jet elektrik Vertical Take-Off and Landing (eVTOL) Lilium dengan pilihan untuk membeli 50 buah lagi.

    Syarikat penerbangan itu dijangka mula menerima penghantaran pesawat jet Lilium, yang boleh menempatkan empat hingga enam penumpang dan terbang sehingga 175 kilometer, pada tahun 2026. – AFP

    Seorang pengunjung melihat lebih dekat pesawat jet eVTOL Lilium milik Saudia Airlines yang dipamerkan semasa Forum Logistik Global di Riyadh pada 14 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda