RIYADH, 6 OGOS – Dana kekayaan kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan penubuhan sebuah syarikat pelaburan sukan baharu untuk menarik ‘acara global utama’ kepada negara itu, yang telah menghabiskan beberapa bulan kebelakangan ini untuk menarik minat bintang bola sepak terkemuka.
Syarikat itu, SRJ Sports Investments, ‘akan melabur dalam pemerolehan dan penganjuran acara sukan baharu IP (harta intelek), hak komersial pertandingan sukan popular dan terkemuka serta penganjuran acara global utama di Arab Saudi,” kata Dana Pelaburan Awam (PIF) dalam kenyataan.
Ia akan ‘menyasarkan perniagaan khusus dalam menawarkan aktiviti penglibatan peminat yang unik dan teknologi sukan transformatif di seluruh industri, mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai salah satu destinasi sukan dan hiburan terkemuka di dunia.’
Salah satu saluran kekayaan berdaulat terbesar di dunia, PIF pada 2022 mempunyai aset berjumlah AS$595 bilion, menurut laporan tahunannya yang dikeluarkan hari ini.
Sukan telah menjadi tumpuan utama usaha kerajaan yang kaya minyak itu untuk dijenamakan semula sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan global di bawah agenda pembaharuan Wawasan 2030 yang dipelopori oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, Pengerusi PIF.
Kelab bola sepak di negara Teluk, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, telah menandatangani sejumlah bintang utama bermula dengan Cristiano Ronaldo tahun lalu, disusuli oleh Karim Benzema, Jordan Henderson dan Sadio Mane tahun ini, walaupun tawaran kepada Kylian Mbappe dan Lionel Messi tidak berjaya. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P14-B-web-Freepik_07082023.jpg)