KUALA LUMPUR, 20 Feb – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan melancarkan aplikasi khas ‘SaveMe 999’” bertujuan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan bantuan kecemasan secara lebih efisien dan efektif.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKMM, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata aplikasi itu yang akan dilancarkan Mac ini boleh diakses menerusi telefon pintar.
“Aplikasi ini akan memudahkan golongan OKU menghubungi pusat panggilan Malaysian Emergency Response Service (MERS 999) dengan hanya menekan butang panik yang diwujudkan pada sistem berkenaan.
“Menerusi butang panik, pusat panggilan akan dapat mengetahui lokasi sebenar OKU itu berada… dan bantuan kecemasan akan dihantar segera sebaik sahaja panggilan diterima,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Asia Navigator 2017 di sini hari ini.
Persidangan kali keenam yang dianjurkan International Academies of Emergency Dispatch (IAED) itu menghimpunkan 300 peserta daripada pelbagai agensi terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam bertujuan bagi meningkatkan keberkesanan sistem Mers 999 di negara ini.
Mohd Ali berkata aplikasi itu juga dilengkapi dengan sistem bantuan suara bagi kegunaan pengguna OKU kategori buta. – Bernama