Sawadee Club Thai Night 16 Sept

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dan Kelab Sawadee Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mengadakan acara tahunan, Sawadee Club Thai Night di Kedutaan Thailand, Kampung Kiarong pada 16 September ini.

Kelab Sawadee UBD merupakan sebuah kelab yang memberi peluang kepada para pelajar UBD untuk mengetahui lebih dalam lagi mengenai kebudayaan, makanan, bahasa dan sebagainya yang berkaitan dengan negara Thailand.

Sejak penubuhan kelab berkenaan, Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam tidak putus-putus mendukung serta menyokong segala aktiviti mahupun acara yang mereka jalankan.

Menerusi kelab berkenaan, ia dipercayai dapat meningkatkan persefahaman antara rakyat dan para belia di kedua-dua buah negara dan secara tidak langsung memperkukuhkan lagi hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand yang telah terjalin sejak berpuluh tahun lamanya.