Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sawah padi diubah jadi karya seni

    BANGKOK, 16 JAN – Sebidang sawah padi seluas dua ekar di utara Thailand kini menjadi tarikan dengan diubah menjadi karya seni yang memaparkan imej seekor naga dan kucing, simbol harapan dan ketabahan masyarakat selepas pulih daripada banjir besar.

    Pemilik ladang, Tanyapong Jaikham, berkata kucing tersebut melambangkan penduduk kampung halamannya di Chiang Rai yang terkesan dengan banjir besar semasa musim tengkujuh tahun lalu. Naga, simbol zodiak tahun lalu, digambarkan melindungi kucing tersebut.

    Tanyapong, seorang jurutera automotif, bekerjasama dengan 20 individu lain termasuk rakan dan ahli keluarga untuk menghasilkan rekaan itu dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan imejan satelit. Padi menjadi medium utama seni itu.

    Menurut beliau, proses perancangan dan pelaksanaan yang rapi mengambil masa sebulan dan menelan belanja sekitar 500,000 baht (AS$14,500).

    “Karya seni ini memerlukan perhatian yang teliti, jadi kami perlu berhati-hati sepanjang prosesnya,” katanya kepada AFP.

    “Namun, dengan bantuan teknologi moden, semuanya menjadi lebih mudah,” tambah Tanyapong.

    Karya seni itu telah dibuka kepada orang ramai sejak akhir Disember, namun Tanyapong menyatakan mereka belum bersedia untuk menerima ramai pengunjung buat masa ini. – AFP

    Gambar udara menunjukkan karya seni yang memaparkan kucing dan naga oleh Tanyapong di sawah padi di wilayah Chiang Rai, utara Thailand, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda