Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya banyak menangis di bilik air – SRK

    Pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan, berkongsi pandangannya mengenai kegagalan dalam kerjaya serta cara beliau mengatasinya semasa menjadi tetamu di Sidang Kemuncak Global Freight di Dubai.

    Beliau turut mengimbas kembali perjalanan hidupnya dari awal karier hingga menjadi salah seorang bintang terbesar di dunia.

    Menurut laporan Hindustan Times, pelakon yang meraikan usia ke-59 awal bulan ini menekankan bahawa kegagalan tidak seharusnya dianggap sebagai konspirasi alam semesta terhadap seseorang, tetapi lebih kepada peluang untuk muhasabah dan memperbaiki diri.

    Ketika ditanya sama ada beliau pernah bersikap kritikal terhadap kerjayanya, Shah Rukh Khan mengakuinya. “Saya sangat kritikal terhadap diri sendiri. Kadang-kadang, saya menangis sendirian di bilik mandi kerana tidak mahu menunjukkan kelemahan saya kepada orang lain. Walau bagaimanapun, saya percaya dunia tidak menentang kita dan kegagalan bukan disebabkan konspirasi atau kesalahan takdir,” katanya.

    Shah Rukh Khan turut menambah bahawa seseorang perlu menerima bahawa mungkin terdapat kesilapan dalam pelaksanaan, strategi, atau pemasaran yang menyebabkan sesuatu tidak berjalan seperti dirancang. Beliau percaya bahawa pendekatan itu membolehkan seseorang untuk bangkit dan terus berusaha.

    Pelakon filem Pathaan itu menganalogikan kehidupan seperti seekor semut kecil yang kadang kala dibawa angin ke tempat yang tidak dijangka. “Angin itu tidak menentang kita, ia hanya melakukan apa yang perlu dilakukan. Kita tidak boleh menyalahkan hidup atas kegagalan. Sebaliknya, kita harus mengenal pasti apa yang salah, menyesuaikan semula strategi dan mencuba lagi,” ujarnya. – Agensi

    Shah Rukh Khan sangat kritikal terhadap diri sendiri. – Hollywood Reporter
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda