BERLIN, 26 JUN – Suspek utama dalam pembunuhan seorang ahli politik pro-migran telah mengaku melakukan pembunuhan tersebut, kata menteri dalam negeri Jerman hari ini selepas mesyuarat suruhanjaya ahli parlimen khas.
Stephen Ernst, 45, militan berhaluan kanan dengan sabitan kesalahan sebelumnya, ditahan atas pembunuhan ahli politik tempatan Walter Luebcke pada 2 Jun.
Bercakap selepas mesyuarat parlimen, Menteri Dalam Negeri Horst Seehofer berkata ‘suspek telah mengaku’ membunuh dan ‘berkata dia bertindak sendirian.’
Penyiasat kini sedang menyiasat sama ada orang lain mungkin mengetahui rancangan Ernst atau bersubahat dengannya.
“Kami juga akan mengkaji secara terperinci lingkungan yang disertainya baru-baru ini dan juga beberapa tahun lalu,” kata Seehofer.
“Dengan itu, penjelasan pembunuhan politik ini belum selesai.”
Pembunuhan telah mengejutkan Jerman, dan menimbulkan persoalan mengenai sama ada negara itu telah gagal memandang serius ancaman dari neo-Nazi.
“Sekarang sudah jelas bahawa terdapatnya latar belakang berhaluan kanan,” beritahu pakar hal ehwal dalam negeri Greens Irene Mihalic kepada AFP selepas mesyuarat ahli parlimen. – AFP
