MEKAH – Bagi Zainab Abdu, dia mengenang kembali masa-masa yang dihabiskannya pada hujung minggu di kota-kota paling suci bagi umat Islam.
Dibesarkan di kota Mekah, Abdu masih ingat ketika dia bermain kasut roda bersama kawan-kawannya di Masjidilharam. Dataran padang pasir dan lembah yang dipenuhi oleh jemaah haji setiap tahun adalah tempat dia dan keluarga serta rakan-rakannya berkelah, menunggang kuda dan bermain bola sepak semasa di luar musim haji.
“Masjidil Haram adalah rumah saya,” kata ahli farmasi berusia 29 tahun itu. “Ia adalah zaman kanak-kanak saya tetapi orang lain tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan normal bagi kami. Kami melakukan perkara-perkara yang sama seperti orang lain.”
Mekah merupakan kota paling suci dan tempat tumpuan bagi umat Islam. Ia adalah tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW, tempat Baginda kali pertama menerima wahyu dari Allah SWT. Di situ terletaknya Kaabah, struktur yang menjadi kiblat orang Islam di seluruh dunia ketika solat lima waktu.
Mekah juga merupakan tempat di mana dua juta orang tinggal, bekerja dan melakukan aktiviti-aktiviti biasa seperti mencuci pakaian, membeli belah, melakukan kerja rumah, membuang sampah dan membayar bil.



Di luar kawasan yang dipenuhi jemaah haji, kawasan kejiranan moden di bandar yang tersusun dengan pusat membeli belah, gim, sekolah dan universiti di sepanjang jalan.
Bandar itu sedikit mewah seperti bandar-bandar negara Teluk di Dubai atau Doha, malahan Riyadh.
Pusat-pusat membeli belahnya sederhana, walaupun kedai-kedai ‘bubble tea’ dan rangkaian jenama terkenal seperti Sephora mula dibuka. Medan selera di salah sebuah gedung membeli-belah turut menyatakan rangkaian makanan segera terkenal di Amerika Syarikat (AS), Popeyes, akan dibuka.
Kehidupan seharian memang mengkompromikan kesucian bandar itu. Mekah tidak mempunyai pawagam, walaupun kerajaan telah menarik balik larangan di seluruh negara terhadap panggung wayang pada 2018. Untuk menonton pawagam, penonton perlu pergi ke kota Jeddah, kira-kira 70 kilometer jauhnya, manakala dewan perkahwinan dibangunkan jauh dari kawasan suci.
“Ia adalah kota suci dan ia perlu dihormati,” kata Abdu. “Nyanyian ulang tahun dan sambutan lainnya memang diadakan tetapi tidak terlalu meriah.”
Dan sekali dalam setahun, populasi di bandar itu meningkat dua kali ganda selama sebulan ketika jemaah haji dari seluruh dunia membanjiri bandar suci itu. Kawalan keselamatan digandakan ketika orang ramai berpusu-pusu menuju ke Masjidilharam dan kawasan suci lain berhampiran seperti Mina, Muzdalifah dan Bukit Arafah.
Ini bermakna kesesakan lalu lintas bermula dan Abdu yang lahir di Jeddah dan menetap di Mekah sejak usia enam tahun, perlu mengelak laluan tertentu kerana penutupan jalan, meskipun dia tidak tinggal berhampiran Masjidilharam. Penduduk Mekah sebelum ini banyak berinteraksi dengan jemaah haji. Tetapi langkah-langkah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mengatur orang ramai telah membuatkan mereka semakin berjauhan. Pelaburan besar yang mencurah-curah telah mengubah Mekah.
Sebelum ini, ‘penduduk di sana membuka rumah mereka’ kepada jemaah, kata Fajr Abdullah, 57, yang dilahirkan dan dibesarkan di Mekah. “Jika seseorang jatuh sakit, mereka akan merawatnya di rumah mereka. Masa-masa yang indah.”
Kediaman keluarga Abdul-Halim berhampiran dengan Masjidilharam, jadi mereka menyaksikan para jemaah mengelilingi Kaabah dari bumbung rumah mereka. Penduduk Mekah akan berkumpul di sekitar Masjidilharam kerana tempat-tempat awam yang terhad.
Abdul-Halim mengimbau kembali ketika dia keluar bersama ibu bapanya dan adik beradiknya setiap petang untuk mengerjakan solat dan duduk di sana sehingga waktu solat malam.
Kini dia berpindah ke Jeddah selepas berkahwin dan ramai ahli keluarganya sudah meninggal dunia. Ini menyebabkan dia jarang mengunjungi kota suci itu. Kawasan kejiranan di sekitar masjid telah berubah dan tidak lagi dikenali selepas pembinaan hotel, bangunan pencakar langit, lebuh raya dan infrastruktur lainnya sejak beberapa dekad.
Abdul-Halim dan Abdu berkata mereka biasanya mengerjakan haji dengan mudah, tidak perlu membuat perancangan awal. Tetapi kini penduduk tempatan sukar untuk mengerjakannya dengan mudah; mereka perlu mendaftar tempat sama seperti orang lain dan membayar yuran AS$1,600 setiap seorang.
Akan tetapi, masih ada perasaan bangga tinggal di bandar itu. Abdu mengenang kembali bagaimana semasa di sekolah tadika, ‘kami diberitahu untuk menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai kerana status Mekah’.
“Saya sentiasa mengatakan saya bertuah, saya boleh masuk ke Masjidilharam setiap hari.
Orang ramai teruja kerana saya tinggal di sini. Kadangkala saya merasa jarang pergi ke Masjidilharam, tetapi saya sangat bersyukur. Ia satu kurnia,” katanya. “Apabila musim haji, ia seperti membuka rumah kepada tetamu awda. Apabila mereka kembali pulang, awda merasa sedih”.
Beberapa hari sebelum musim haji bermula, seorang pemandu teksi dari Bangladesh, Jahid Rojin mengeluh ketika keretanya meninggalkan perkarangan Masjidilharam dan menuju ke Aziziyah.
“Selalu seperti ini semasa musim haji,” katanya dalam bahasa Urdu, merujuk kepada jalan yang dibanjiri oleh jemaah haji. Dilahirkan di Dhaka, Roijin menetap di Mekah selama 16 tahun, sebagai sebahagian daripada masyarakat selatan Asia yang berpindah secara tetap di sana.
Semasa musim haji, bayaran untuk teksi yang disewanya meningkat kira-kira AS$1,600 berbanding AS1,000. Dia terpaksa keluar daripada apartmennya kerana pemilik ingin menyewakannya kepada jemaah dan untuk mengaut sedikit keuntungan. Tetapi dia berkata, dia akan kembali ke rumahnya sebaik sahaja jemaah pulang, dan trafik, harga dan segala-galanya akan kembali normal.
Dan dia berkata di sana terdapat kelebihan. “Rahmat dan rezeki yang awda peroleh semasa berada di Mekah tidak dapat ditandingi di tempat lain di dunia ini,” katanya, ketika dia mengenakan caj tiga kali ganda ke atas seorang wanita yang terdesak berbanding tambang biasa untuk berkongsi teksi dengan dua penumpang lainnya.
“Saya sangat bertuah untuk tinggal di sini.” – AP

