Penyanyi, Amir Masdi, 27, menafikan dakwaan konon bapanya usahawan berpengaruh yang juga pemilik syarikat gergasi di Sarawak.
Amir atau nama sebenar, Amir Syazwan Masdi berkata bapanya hanya bekerja di salah sebuah anak syarikat organisasi induk dan dirinya bukan datang dari keluarga berada.
“Sebenarnya, bapa saya kerja dengan syarikat itu, bukan pemiliknya. Mungkin ada yang berfikir syarikat terbabit milik bapa, tetapi bukan.
“Saya ada jayakan acara iaitu majlis makan malam yang dianjurkan syarikat besar terbabit dan anak syarikat di bawahnya. Keluarga saya sederhana sahaja.
“Saya garu kepala apabila dapat tahu orang cakap bapa saya pemilik syarikat gergasi. Mungkin disebabkan keterangan pada foto dimuat naik di Instagram (IG) yang membuatkan ramai orang fikir begitu,” katanya pada sidang media ‘showcase’ Amir Masdi Album Tour di sini, baru-baru ini.

Amir mengulas dakwaan warganet konon dirinya anak orang apabila memuat naik hantaran dengan kapsyen berbunyi ‘bernyanyi untuk syarikat bapa’ di IG, baru-baru ini.
Selain itu, rakaman video Amir membuat persembahan pada majlis makan malam dianjurkan syarikat di mana ayahnya bekerja, tular di TikTok.
Amir juga menafikan bapanya menaja siri jelajah untuk album pertama diberi judul mengikut namanya, Amir Masdi.
Sementara itu, berkongsi mengenai siri jelajah album sulungnya di sini, juara program realiti Akademi Fantasia (AF) 2016 itu gembira acara dirancang mendapat sambutan positif peminat.
Pada ‘showcase’ itu, Amir mendendangkan rangkaian lagu seperti Pemilik Cinta, Empayar, Puas, Esok, Sengaja, Aura Kejora, Asmara dan Hujan Air Mata. – Agensi

