BILBAO, 21 MEI – Ange Postecoglou dengan marah mempertahankan rekod pengurusannya menjelang perlawanan akhir Liga Europa Tottenham menentang Manchester United selepas mengharungi musim Liga Perdana yang hambar dengan menyatakan: “Saya bukan badut”.
Spurs menentang United di Bilbao esok pagi dengan peluang memenangi trofi pertama mereka selama 17 tahun, yang juga sebagai kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan.
Postecoglou, yang pasukannya berada di tangga ke-17 dalam Liga Perdana – satu tangga di bawah United – telah berada di bawah tekanan yang semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana persembahan yang telah merosot.
Ramai pemerhati percaya pengurus Spurs tersebut bakal dipecat tanpa mengira keputusan pagi esok menentang rakan seperjuangan, Ruben Amorim.
Postecoglou ditanya pada sidang akhbar pra-perlawanannya kelmarin tentang masa depannya dalam kelab.
“Itu bergantung pada pandangan awda tetapi saya akan memberitahu awda satu perkara – tanpa mengira hari esok, saya bukan badut, saya tidak akan jadi badut,” katanya, merujuk kepada kepada wartawan yang pernah menggunakan perkataan tersebut dalam satu artikel.
“Sungguh mengecewakan apabila awda menggunakan istilah sedemikian terhadap seseorang yang selama 26 tahun, tanpa sebarang bantuan daripada sesiapa, yang berusaha keras untuk berada dalam kedudukan mengetuai kelab dalam pertandingan utama Eropah, bahawa entah bagaimana sekiranya tidak berjaya, ia bermakna saya seorang badut.”
Bekas bos Australia dan Celtic itu berkata dia telah bekerja tanpa jemu untuk mengubah keadaan di Spurs, yang tidak memenangi trofi sejak 2008 dan tidak pernah mengecap kejayaan Eropah sejak 1984.
“Saya pernah berada dalam kedudukan ini sebelum ini, di mana perlawanan besar adalah perlawanan terakhir yang saya uruskan. Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi saya.”
Dia turut berkata: “Masa depan saya terjamin. Saya bukanlah orang pertama yang bertukar kerja. Kita semua bertukar kerja. Saya pasti awda mempunyai lebih daripada satu pekerjaan. Masa depan saya terjamin. Saya mempunyai keluarga yang cantik, saya mempunyai kehidupan yang hebat.
“Saya akan terus memenangi trofi sehingga saya tamat, di mana-mana sahaja. Jangan risau tentang saya.”
Sememangnya memenangi trofi esok adalah tugas yang harus jurulatih berusia 59 tahun itu lakukan di Spurs, yang pernah menduduki tempat kelima dalam Liga Perdana pada musim pertamanya sebagai pengurus, pada 2023/24. – AFP
