BARCELONA, 8 FEB – Bekas pemain antarabangsa Brazil, Dani Alves menafikan merogol seorang wanita muda di sebuah kelab malam Barcelona ketika dia memberikan keterangan kelmarin, hari terakhir perbicaraannya di Sepanyol.
“Jika dia mahu pergi, dia boleh pergi, dia tidak diwajibkan untuk berada di sana,” kata lelaki berusia 40 tahun itu kepada mahkamah di Barcelona, sambil menambah bahawa wanita itu ‘tidak pernah’ meminta untuk pergi.
Alves juga menafikan memukul wanita tersebut dan menarik rambutnya, memberitahu mahkamah selama kira-kira 20 minit dia memberikan keterangan, “Saya bukan lelaki yang ganas.”
Perbicaraan itu bermula pada Isnin dengan mangsa memberikan keterangan selama lebih sejam dari belakang skrin bagi mengelakkan dirinya dikenal pasti.
Seorang ahli psikologi yang merawat wanita itu selepas dakwaan dirogol memberitahu mahkamah pada awal Rabu bahawa dia menunjukkan tanda-tanda mengalami gangguan tekanan pascatrauma.
Tetapi pakar yang dipanggil oleh pasukan pembela pemain bola sepak itu berkata, kegelisahan wanita tersebut mungkin disebabkan oleh perhatian media yang mendalam mengenai kes itu.
Pendakwa raya menuntut hukuman penjara sembilan tahun diikuti oleh 10 tahun masa percubaan dan AS$162,000 sebagai pampasan. Keputusan dijangka akan ditetapkan dalam beberapa minggu. – AFP
